Tuesday 15 July 2014

KEPENTINGAN ILMU USULUDDIN (SYARAH AQIDAH TAHAWIYAH)


Ilmu usuluddin merupakan ilmu yang paling mulia kerana kemuliaan ilmu itu bergantung kepada intipati ilmu itu sendiri. Ia adalah fiqh al-akbar bagi nisbah fiqh al-furuk. Oleh itu, Imam Abu Hanifah r.a. menamakan pendapat dan karangannya dalam bidang usuluddin sebagai 'fiqh al-akbar'. Keperluan manusia kepada ilmu adalah mengatasi segala ilmu, kerana hati tidak akan hidup, tidak tenang dan tidak selesa melainkan dengan mengenali Tuhan yang disembah dan yang menjadikannya dengan mengenali nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Dengan itu Tuhan akan menjadi yang paling dikasihinya daripada segala-galanya dan segala kerja serta amalannya hanyalah ke arah mendekatkan diri kepada-Nya dan bukannya kepada makhluk-makhluk yang lain.

Adalah mustahil dengan akal semata-mata dapat mengetahui dan mengenali semua itu dengan terperinci. Maka dengan rahmat Allah yang Maha Mulia dan Mengasihani telah mengutuskan para rasul untuk memperkenalkannya dan menyeru ke arahnya. Mereka memberikan berita gembira kepada orang-orang yang menyahut seruan mereka dan memberikan berita menakutkan kepada orang-orang yang menolaknya. Allah menjadikan anak kunci dakwah dan risalah para rasul ini mengenali Tuhan yang disembah dengan merangkumi nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Ini kerana dengan pengetahuan inilah terbinanya semua tuntutan-tuntutan risalah dari awal hingga yang terakhir.

seterusnya ia diikuti oleh dua usul yang utama :

Pertama : Mengetahui jalan yang boleh menyampaikan kepadanya (iaitu syariat yang merangkumi perintah dan larangan-Nya)

Kedua : Memberitahu orang-orang yang melalui jalan itu tentang ganjaran nikmat yang kekal abadi yang akan mereka perolehi setelah mereka mencapainya.

Manusia yang paling mengenal Allah ialah orang yang paling mengikut jalan yang boleh menyampai kepada-Nya dan orang yang paling tahu tentang orang-orang yang mengikut jalan tersebut. Oleh itu Allah menamakan ajaran yang diturunkan-Nya sebagai roh kerana kehidupan yang hakiki bergantung kepadanya, dan juga Dia menamakannya dengan nur kerana hidayah adalah bergantung dengannya. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya : Dia memberikan wahyu dari hal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya) Surah Mukmin : 15

Maksudnya : Dan demikianlah Kami wahyukan kepada mu (wahai Muhammad)-al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami, engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu) : apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu, akan tetapi Kami jadikan al-Quran. Cahaya yang memerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus. Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kita kembali segala urusan.

Tidak ada roh melainkan pada ajaran yang dibawa oleh rasul dan tidak ada cahaya melainkan yang menggunakan ajaran rasul sebagai suluhan. Allah menamakan ajaran yang diturunkan kepada rasul sebagai ubat sebagaimana firman-Nya :

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) : "al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar"

Sekalipun al-Quran secara umumnya adalah penawar dan petunjuk, akan tetapi oleh kerana orang yang mahu mengambil manfaat daripadanya hanyalah orang-orang yang beriman maka Allah hanya menyebut mereka sahaja.

0 comments:

Post a Comment