Thursday 10 July 2014

PENDAHULUAN KITAB SYARAH AQIDAH TAHAWIAH


Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad al-Tahawi yang meninggal dunia pada tahun 322 hijrah telah mengarang satu kitab yang kandungannya perlu diketahui dan diyakini oleh setiap mukallaf. Kandungannya merangkumi masalah usuluddin seperti masalah Tauhid, sifat-sifat Allah, qadar, kenabian, hari akhirat dan isu-isu akidah lain dengan menggunakan pendekatan Ahli Sunnah wal Jamaah dalam kalangan Salafussoleh. Ulama-ulama Salaf dan Khalaf telah menerima dan memperakui kitab ini dan ia telah menjadi masyhur. Kitab ini telah disyarahkan oleh ramai ulama'. Akan tetapi, syarah yang paling hampir menepati manhaj Salaf , yang paling sahih dan tepat ialah syarah yang dilakukan oleh Ibn Abi Izz yang kami persembahkan ke pangkuan para pembaca beserta dengan pengesahan, jauh daripada kesilapan dan penyelewengan.

Dalam membuat syarah kitab ini, Ibn Abi Izz rahimahullah telah mengikut manhaj Salaf yang telah digariskan panduannya dan dipertahankan oleh ahli ilmu kurun ke 3 hijrah. Imam Ibn Abi Izz telah mengerah segala tenaga yang ada untuk menjelaskan kebenaran manhaj ini dengan membawakan dalil-dalil bagi membuktikan kebenarannya dan mengkritik manhaj lain yang bertentangannya. Beliau mendedahkan kecacatan manhaj yang lain, menerangkan pertentangannya dan jauhnya daripada kebenaran dengan menggunakan dalil naqli dan aqli yang diambil daripada al-Qur'an dan al-Sunnah. Dengan ketajaman fikiran yang ada pada imam ini, didapati penjelasan, penerangan, kekuatan hujah yang dipaparkab dan dalil-dalil yang banyak dikemukakan sememangnya tiada tolok banding antara kitab-kitab syarah yang lain.

Ini tidak menghairankan kerana pendekatan ini adalah kesinambungan daripada Madrasah Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah yang menjadi sumber untuk menimbulkan kesedaran ahli ilmu, membetulkan kefahaman, mengembalikan orang ramai kepada sumber yang asli, jauh daripada taqlid dan ikut-ikutan. Imam Ibn Abi Izz telah membaca semua tulisan Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim rahimahullah dalam bidang akidah serta telah memahami sepenuhnya. Kemudian beliau telah meringkaskannya dalam syarah kitab yang berkualiti dan bernilai tinggi ini.

0 comments:

Post a Comment