Tuesday 15 July 2014

KEPENTINGAN ILMU USULUDDIN (SYARAH AQIDAH TAHAWIYAH)


Ilmu usuluddin merupakan ilmu yang paling mulia kerana kemuliaan ilmu itu bergantung kepada intipati ilmu itu sendiri. Ia adalah fiqh al-akbar bagi nisbah fiqh al-furuk. Oleh itu, Imam Abu Hanifah r.a. menamakan pendapat dan karangannya dalam bidang usuluddin sebagai 'fiqh al-akbar'. Keperluan manusia kepada ilmu adalah mengatasi segala ilmu, kerana hati tidak akan hidup, tidak tenang dan tidak selesa melainkan dengan mengenali Tuhan yang disembah dan yang menjadikannya dengan mengenali nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Dengan itu Tuhan akan menjadi yang paling dikasihinya daripada segala-galanya dan segala kerja serta amalannya hanyalah ke arah mendekatkan diri kepada-Nya dan bukannya kepada makhluk-makhluk yang lain.

Adalah mustahil dengan akal semata-mata dapat mengetahui dan mengenali semua itu dengan terperinci. Maka dengan rahmat Allah yang Maha Mulia dan Mengasihani telah mengutuskan para rasul untuk memperkenalkannya dan menyeru ke arahnya. Mereka memberikan berita gembira kepada orang-orang yang menyahut seruan mereka dan memberikan berita menakutkan kepada orang-orang yang menolaknya. Allah menjadikan anak kunci dakwah dan risalah para rasul ini mengenali Tuhan yang disembah dengan merangkumi nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Ini kerana dengan pengetahuan inilah terbinanya semua tuntutan-tuntutan risalah dari awal hingga yang terakhir.

seterusnya ia diikuti oleh dua usul yang utama :

Pertama : Mengetahui jalan yang boleh menyampaikan kepadanya (iaitu syariat yang merangkumi perintah dan larangan-Nya)

Kedua : Memberitahu orang-orang yang melalui jalan itu tentang ganjaran nikmat yang kekal abadi yang akan mereka perolehi setelah mereka mencapainya.

Manusia yang paling mengenal Allah ialah orang yang paling mengikut jalan yang boleh menyampai kepada-Nya dan orang yang paling tahu tentang orang-orang yang mengikut jalan tersebut. Oleh itu Allah menamakan ajaran yang diturunkan-Nya sebagai roh kerana kehidupan yang hakiki bergantung kepadanya, dan juga Dia menamakannya dengan nur kerana hidayah adalah bergantung dengannya. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya : Dia memberikan wahyu dari hal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya) Surah Mukmin : 15

Maksudnya : Dan demikianlah Kami wahyukan kepada mu (wahai Muhammad)-al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami, engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu) : apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu, akan tetapi Kami jadikan al-Quran. Cahaya yang memerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus. Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kita kembali segala urusan.

Tidak ada roh melainkan pada ajaran yang dibawa oleh rasul dan tidak ada cahaya melainkan yang menggunakan ajaran rasul sebagai suluhan. Allah menamakan ajaran yang diturunkan kepada rasul sebagai ubat sebagaimana firman-Nya :

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) : "al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar"

Sekalipun al-Quran secara umumnya adalah penawar dan petunjuk, akan tetapi oleh kerana orang yang mahu mengambil manfaat daripadanya hanyalah orang-orang yang beriman maka Allah hanya menyebut mereka sahaja.

Thursday 10 July 2014

PENDAHULUAN KITAB SYARAH AQIDAH TAHAWIAH


Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad al-Tahawi yang meninggal dunia pada tahun 322 hijrah telah mengarang satu kitab yang kandungannya perlu diketahui dan diyakini oleh setiap mukallaf. Kandungannya merangkumi masalah usuluddin seperti masalah Tauhid, sifat-sifat Allah, qadar, kenabian, hari akhirat dan isu-isu akidah lain dengan menggunakan pendekatan Ahli Sunnah wal Jamaah dalam kalangan Salafussoleh. Ulama-ulama Salaf dan Khalaf telah menerima dan memperakui kitab ini dan ia telah menjadi masyhur. Kitab ini telah disyarahkan oleh ramai ulama'. Akan tetapi, syarah yang paling hampir menepati manhaj Salaf , yang paling sahih dan tepat ialah syarah yang dilakukan oleh Ibn Abi Izz yang kami persembahkan ke pangkuan para pembaca beserta dengan pengesahan, jauh daripada kesilapan dan penyelewengan.

Dalam membuat syarah kitab ini, Ibn Abi Izz rahimahullah telah mengikut manhaj Salaf yang telah digariskan panduannya dan dipertahankan oleh ahli ilmu kurun ke 3 hijrah. Imam Ibn Abi Izz telah mengerah segala tenaga yang ada untuk menjelaskan kebenaran manhaj ini dengan membawakan dalil-dalil bagi membuktikan kebenarannya dan mengkritik manhaj lain yang bertentangannya. Beliau mendedahkan kecacatan manhaj yang lain, menerangkan pertentangannya dan jauhnya daripada kebenaran dengan menggunakan dalil naqli dan aqli yang diambil daripada al-Qur'an dan al-Sunnah. Dengan ketajaman fikiran yang ada pada imam ini, didapati penjelasan, penerangan, kekuatan hujah yang dipaparkab dan dalil-dalil yang banyak dikemukakan sememangnya tiada tolok banding antara kitab-kitab syarah yang lain.

Ini tidak menghairankan kerana pendekatan ini adalah kesinambungan daripada Madrasah Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah yang menjadi sumber untuk menimbulkan kesedaran ahli ilmu, membetulkan kefahaman, mengembalikan orang ramai kepada sumber yang asli, jauh daripada taqlid dan ikut-ikutan. Imam Ibn Abi Izz telah membaca semua tulisan Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim rahimahullah dalam bidang akidah serta telah memahami sepenuhnya. Kemudian beliau telah meringkaskannya dalam syarah kitab yang berkualiti dan bernilai tinggi ini.

Tuesday 8 July 2014

PERKEMBANGAN ILMU AQIDAH



PERKEMBANGAN ILMU AQIDAH
Oleh : Ustaz Ahmad Naim bin Azlan

Ringkasan peringkat perkembangan ilmu aqidah adalah seperti berikut:

1.    Zaman Rasulullah S.A.W
a.    Umat Islam (para sahabat) menerima segala ajaran Rasulullah S.A.W  tanpa banyak persoalan, jika ada maka mereka terus bertanyakan pada Baginda.
b.    Oleh itu tidak timbul masalah perbahasan aqidah seperti sifat 20 atau sifat ketuhanan.
c.    Kefahaman para sahabat pada waktu itu sangat hebat. Mereka mampu memahami al-Quran dan hadis dengan baik tanpa kekeliruan.
d.    Para sahabat tidak mempersoalkan makna di sebalik aqidah dan sifat Allah sebaliknya terus menerima tanpa soal.
e.    Para sahabat ada bersama Rasulullah S.A.W ketika wahyu disampaikan maka mereka dapat mempelajari ajaran Islam secara langsung. Ini menguatkan lagi pemahaman mereka.
f.     Rasulullah S.A.W menegah para sahabat dari banyak mempersoalkan perihal zat Allah serta qada’ dan qadr.

2.    Zaman Selepas Kewafatan Rasulullah S.A.W
a.    Dalam pemerintahan khalifah pertama iaitu Abu Bakar tidak timbul masalah perbahasan aqidah kerana para sahabat masih ramai, dan mereka lebih fokus kepada usaha menghadapi ancaman musuh-musuh Islam.
b.    Apabila mereka berdepan dengan ayat mutasyabihah mereka beriman dengannya secara langsung dan tanpa mempersoalkan maksud di sebaliknya dan menyerahkan maknanya kepada Allah S.W.T.
c.    Adapun perselisihan yang berlaku pada waktu tersebut hanyalah dalam perkara furu’ (cabang) bukannya dalam permasalahan usul.
d.    Jika timbul sebarang keraguan maka mereka terus merujuk al-Quran dan Hadis. Sekiranya tak dijumpai maka mereka mengamalkan qias.
e.    Para sahabat khususnya khalifah kedua, Saidina Umar bin al-Khattab menentang keras tindakan memperbahaskan perkara yang berkaitan dengan aqidah.
f.      
3.    Zaman Khalifah Saidina Umar bin al-Khattab R.A
a.    Jajahan takluk kerajaan Islam bertambah luas sehingga ke benua Afrika, maka penganut agama Islam bertambah dengan pesat.
b.    Dalam masa yang sama ramai para sahabat yang telah wafat.
c.    Umat bangsa bukan Arab mula memeluk Islam dan mereka tidak mampu memahami perkara yang berkaitan dengan agama secara mendalam.
d.    Pertembungan ideologi atau fahaman lama mereka dengan ajaran yang dibawa oleh Islam menimbulkan kecelaruan kepada bangsa bukan Arab khusunya. Tambahan pula mereka masih terpengaruh dan susah untuk menghapuskan adat dan kepercayaan lama mereka.

4.    Zaman Khalifah Saidina Uthman bin Affan R.A
a.    Berlaku pertelingkahan dan kekacauan politik yang serius dalam pentadbiran yang akhirnya mengakibatkan pembunuhan khalifah.
b.    Perpecahan umat Islam membuatkan timbuk pelbagai puak dan ini mengakibatkan terjadi perdebatan, perbahasan dan pentakwilan ayat al-Quran khusunya berkaitan aqidah mengikut pandangan puak masing-masing.
c.    Periwayatan hadis palsu bertambah banyak.
d.    Akhirnya muncul pelbagai fahaman baru dalam Islam.

5.    Zaman Khalifah Saidina Ali bin Abi Talib R.A
a.    Perpecahan di kalangan umat Islam semakin serius rentetan peristiwa pembunuhan Saidina Uthman.
b.    Suasana umat Islam pada waktu tersebut kacau bilau dan rapuh.
c.    Ini membuka ruang bagi musuh Islam untuk merosakkan umat Islam dengan lebih mudah, khususnya golongan Saba’iyah.
d.    Muncul golongan Khawarij dan Syiah yang menyimpang dari ajaran aqidah Islam sebenar.
6.    Zaman Khilafah Bani Umayyah
a.    Lahir kebebasan untuk membincangkan perkara-perkara yang didiamkan oleh ulama-ulama salaf, maka muncullah mereka yang memperbahaskan masalah qada’ dan qadar antaranya Ma’bad al-Juhani, Ghailan ad-Dimasyqi dan Ja’d ibnu Dirham.
b.    Selepas itu lahir pula golongan yang menafikan qudrat dan iradat manusia. Golongan ini dinamakan Jabariyyah dan diasaskan oleh Jahm bin Safwan.
c.    Fahaman ini akhirnya dikembangkan dan mempengaruhi fahaman Mu’tazilah. Fahaman ini disebarkan pada penghujung abad pertama oleh puak aliran Khawarij. Hassan al-Basri menyanggah aliran ini dan tidak disetujui oleh muridnya Wasil bin Ata’.
d.    Wasil bin Ata’ akhirnya mengasingkan diri dari Hasan al-Basri dan menggelar diri mereka Mu’tazilah.
e.    Muncul aliran Mu’tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin Ata’. Aliran ini banyak menyimpang dari konsep aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah.

7.    Zaman Khilafah Abbasiyah
a.    Dianggap sebagai zaman keemasan perkembangan ilmu empayar Islam. Kekuatan empayar Islam dikatakan berada di tahap kemuncak pada zaman ini.
b.    Perluasan jajahan takluk Islam semakin meluas dan semakin ramai memeluk Islam, walaubagaimanapun umat Islam terpaksa menghadapi pengaruh kepercayaan lama yang datang daripada bekas penganut Majusi dan lain-lain.
c.    Perdebatan dan perbahasan berkenaan aqidah semakin hebat dan meluas. Pengaruh fahaman yang salah terutamanya Mu’tazilah merebak di kalangan umat Islam.
d.    Oleh  demikian lahirlah tokoh-tokoh Islam yang berusaha mempertahankan aqidah ahlu sunnah wal jamaah antaranya Imam Abu Hasan al-Asy’ari.
e.    Berlainan dengan method disiplin ilmu aqidah ulama’ salaf, pendekatan yang baru diguna pakai untuk mematahkan hujah golongan Mu’tazilah yang berhujah berdasarkan akal dalam perbahasan aqidah. Pendekatan ini ialah menggunakan dalil atau hujah aqli (akal) di samping dalil naqli (al-Quran dan as-Sunnah)
f.     Perkembangan ilmu sangat pesat. Banyak kitab ditulis dan diterbitkan dalam pelbagai bidang termasuk aqidah. Ilmu aqidah mula dipelajari oleh umat Islam sebagai cabang ilmu terpenting dalam Islam.
g.    Hal ini berlarutan sehingga ditubuhkan fakulti usuluddin di universiti-universiti.