Wednesday, 21 May 2014

Sahih Muslim, Pengenalan dan Metodologi Kitab


SIFAT FIZIKAL KITAB SAHIH MUSLIM 
1. JUDUL KITAB : SAHIH MUSLIM
2. NAMA PENGARANG : Imam Abu Husain Muslim bin al-Hajjaj 
Al-Qusairyy an-Naiaburi.
3. TERBITAN : Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah Beirut- Lebanon 
4. TAHUN CETAKAN : 1421 H – 2000 Masehi 
5. BIL JILID : 1 jilid sahaja
6. WARNA KULIT BUKU : Merah 
7. WARNA TULISAN BUKU : Emas 
8. KETEBALAN KITAB : 5 cm 
9. KEPANJANGAN KITAB : 25 cm 
10. KELEBARAN KITAB : 17.3 cm 
11. HALAMAN MUKA SURAT :1200 tidak termasuk kulit


SEJARAH PEMBUKUAN KITAB SAHIH MUSLIM

Kitab ini merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih selepas Kitab al-Quran. Kedua kitab Sahih ini diterima baik oleh segenap umat Islam. Imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para periwayat hadis, menyaring hadis-hadis yang diriwayatkan, membandingkan riwayat riwayat itu antara satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan begitu berhati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz dan selalu memberikan isyarat jika terdapat sebarang perbezaan antara lafaz-lafaz tersebut. 

Usaha yang sedemikian rupa telah menghasilkan sebuah kitab bermutu tinggi dan menjadi rujukan utama oleh umat Islam hingga dekad ini. Bukti kukuh mengenai kehebatan kitab karyanya ini merupakan suatu kenyataan yang dilakukan sendiri oleh Imam Muslim yang telah menyaring segala isi kandungan kitabnya dari ribuan riwayat hadis yang pernah didengarinya dari ratusan ulama sezaman dengannya. Di dalam hal ini, pernah diceritakan yang ia menyebutkan: “Aku menyusun kitab Sahih ini yang telah disaring dari 300,000 buah hadis.” Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, dia berkata: “Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab Sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12.000 buah hadis.”

Setelah menyusun kitab sahih itu, Imam Muslim -rahimahullah- memperlihatkannya kepada para ulama hadis untuk diperiksa. Al-Khatib meriwayatkan dari Makki bin Abdan, salah seorang hafiz dari Naisabur, ia berkata: "Saya mendengar Muslim berkata: "Aku memperlihatkan kitabku ini kepada Abu Zur'ah ar-Razi. Semua hadis yang ditunjukkan ar-Razi ada kelemahannya, aku tinggalkan. Dan semua yang dikatakan sahih, itulah yang kutulis." Itulah sikap rendah hati Imam Muslim yang tidak terbujuk oleh hawa nafsu dan bangga atas pendapatnya sendiri. 

LATAR BELAKANG IMAM MUSLIM

BIODATA 
Nama Sebenar :Al-Imam Abul Husain Muslim bin al-Hajjaj Ibn Muslim Ibn al-Warid Ibn Kusyaz al-Qusyairi al-Naisaburi, atau Sering dikenali sebagai Imam Muslim.
Tarikh kelahiran : Bulan Rejab tahun 204 Hijrah bersamaan 820 Masehi
Tempat Kelahiran : Naisaburi 
Keturunan : Beliau berasal daripada keturunan yang mulia dan terhormat. Beliau terdidik dalam suasana dan keluarga berilmu.
Sifat Keperibadian :Imam Muslim seorang yang kuat beribadat, bertaqwa, sangat menghormati gurunya, warak, berani dan Tawaduk. 

PENDIDIKAN

Imam Muslim mempunyai kepintaran yang luar biasa dan kecerdasan ingatan serta kefahaman yang tajam. Beliau merupakan orang yang gemar dan sangat kepada ilmu pengetahuan serta suka berbincang dengan ulama. Imam Muslim telah mempelajari al-Quran , Kesusasteraan Arab serta Tatabahasa Arab. Ketika usia 10 tahun beliau telah menghafaz al-Quran seutuhnya serta ribuan hadis berikut sanadnya.

Beliau belajar dan mendalami ilmu hadith ketika berusia 15 tahun. Untuk itu, beliau telah melakukan pengembaraan di merata tempat seperti Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan negara negara lainnya untuk mengumpul dan mempelajari hadith dengan lebih mendalam lagi. Dalam pengembaraanya Imam Muslim banyak mengunjungi ulama-ulama kenamaan untuk berguru hadith daripada mereka. Contohnya Di Khurasan, Imam Muslim berguru dengan Yahya bin Yahya dan Ishak bin Rahawaih, di Ray berguru dengan Muhammad bin Mahran dan Abu 'Ansan. Manakala Di Iraq pula beliau belajar hadith dengan Ahmad bin Hambal dan Abdullah bin Maslamah; di Hijaz belajar dengan Sa'id bin Mansur dan Abu Mas'Abuzar; di Mesir berguru dengan 'Amr bin Sawad dan Harmalah bin Yahya, dan kepada ulama ahli hadits yang lain.

Imam Muslim berkali-kali mengunjungi Baghdad untuk belajar dengan ulama-ulama ahli hadith, dan kunjungannya yang terakhir pada 259 H. Semasa Imam Bukhari datang ke Naisabur, Imam Muslim selalu datang kepadanya untuk berguru, ini kerana beliau mengetahui jasa dan ilmunya. Ketika terjadinya fitnah atau ketegangan antara Bukhari dan Az-Zihli, Imam Muslim berpihak kepada Bukhari, sehingga hal ini menjadi sebab terputusnya hubungan dengan Az-Zihli. Imam Muslim dalam Sahihnya mahupun dalam kitab lainnya, tidak memasukkan hadith-hadith yang diterima dari Az-Zihli padahal ia adalah gurunya. Hal serupa beliau lakukan terhadap Imam Bukhari iaitu tidak meriwayatkan hadith dalam Sahihnya, yang diterima daripada Bukhari, padahal Imam Bukhari adalah gurunya. Walaupun Imam Muslim tidak memasukkan Hadith yang diriwayatkan daripada mereka berdua, Imam Muslim sentiasa menghormati ilmu mereka. 

GURU-GURU IMAM MUSLIM

Antara ulama-ulama yang telah mengajar ilmu hadith kepada Imam Muslim ialah:
• Abdullah bin Masallamah ,
• Imam ahmad bin Hanbal
• Ishak bin Rahawiyah, 
• Ibn Abu Syaibah, 
• Yahya bin Mu’in
• Ishak bin Mansur
• Abu Bakar bin Abi Syaibah
• Abdullah bin Abd. Rahman
• Muhammad bin Abdullah bin Namir

MURID-MURID IMAM MUSLIM

Ketokohan imam Muslim dalam bidang hadith dikenali oleh orang ramai dan para ulama’ ketika itu, kehebatan beliau dalam bidang hadith ini menyebabkan ramai dikalangan umat islam dan ulama’ belajar dengan beliau antara murid beliau ialah:
• Muhammad bin Abdul Wahab al-firai
• Abu Hatim Muhammad bin Idris al- Razi
• Abu Bakar Muhammad bin al- Nadir bin Salmah al- Jarudi
• Ali bin Husain bin Janid al-Razi
• Saleh bin Muhammad Juzrah
• Abu I’sa al- Tarmizi Sohibu Jami’
• Ibrahim bin Abi Talib
• Ahmad bin Salmah al-Naisaiburi
• Abu Bakar bin Khazimah
• Mkhi bin Abdan
• Abdul Rahman bin Abi Hatim Al-Razi
• Abu Hamid Ahmad bin Muhammad bin Syarqi


KEAHLIAN DALAM BIDANG HADITH

Imam Bukhari merupakan ulama terkemuka di bidang hadith sahih, berpengetahuan luas mengenai dalam selok belok hadith, serta ketajaman kritikannya, maka Imam Muslim adalah orang kedua setelah Imam Bukhari, baik dalam ilmu dan pengetahuannya maupun dalam keutamaan dan kedudukannya.
Imam Muslim banyak menerima pujian dan pengakuan dari para ulama ahli hadit maupun ulama lainnya. Al-Khatib al-Baghdadi berketa, "Muslim telah mengikuti jejak Bukhari, memperhatikan ilmunya dan menempuh jalan yang dilaluinya." Pernyataan ini tidak bererti bahawa Muslim hanyalah seorang pengikut. Sebab, beliau mempunyai ciri khas dan kriteria tersendiri dalam menyusun kitab, serta metod penulisan baru yang belum pernah diperkenalkan orangsebelumnya.

KARYA-KARYA IMAM MUSLIM

Selain karyanya yang terkenal iaitu Sahih Muslim, Imam Muslim telah mengarang berbagai-bagai kitab serta penulisan-penulisan yang lain yang telah tersebar dikalangan orang-orang seperti tersebarnya angin di tempat yang terbuka, tanpa apa-apa halangan, supaya ia sampai ke hati serta akal para pembacanya. Isi kitab-kitab itu telah bercampur gaul dalam jiwa mereka seperti tercampurnya air dalam segala yang hidup.

Antara hasil karya imam Muslim :
1. Al-Musnad al-Kabir
2. Al-Asma’ Wal Kunni
3. At-Tamnyiz
4. Al-Ifrad
5. Sualat Ahmad Ibnu Hanbal
6. Lain-lain lagi

KEWAFATAN IMAM MUSLIM 

Imam Muslim Meninggal dunia di Kota Nasr Abad, Nisabur pada hari Ahad malam Isnin, 25 Rejab tahun 261H bersamaan 875M dalam usia 57 tahun.
3.8 SEBAB KEMATIAN IMAM MUSLIM
Telah disebut sebab kematian Imam Muslim: Suatu hari Imam Muslim mengadiri majlis muzakarah bersama para ilmuan yang terutamanya membahaskan ilmu hadith. Salah seorang di antara peserta muzakarah bertanya satu hadith kepada Imam Muslim, tetapi beliau tidak mengetahui akan hadith tersebut. Beliau balik dengan tekad untuk memcari catatan hadith tersebut.
Sesampainya di rumah, beliau terus masuk ke dalam biliknya dan menyalakan lampu.
”Sesiapa pun tidak boleh masuk menjumpaiku pada malam ini.” kata Imam Muslim kepada keluarganya.Pada siang harinya, seseorang telah menghadiahkan sebakul kurma kepada beliau. Maka kurma itu pun di bawa masuk ke dalam biliknya. Beliau menyemak catatan-catatan hadithnya. Apabila selesai membaca satu hadis, beliau mencapai sebiji kurma lalu dimakannya. Kemudian membaca satu hadis lagi, lalu mencapai sebiji kurma dan memakannya setelah satu hadis yang dibacanya selesai. Demikianlah seterusnya sehingga pagi dan tanpa disedarinya dan satu bakul kurma telah habis dimakannya. Akibatnya, beliau sakit perut yang membawa kepada ajalnya. 
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, sesuai dengan segala jihadnya, manfaat yang dia telah menghulurkannya serta jihad dan kesabarannya, bagi membuahkan ilmu yang dia telah tinggalkan.
ISI KANDUNGAN KITAB 

1. Kitab ini dimulakan dengan terjemahan imam Muslim, terjemahan ini telah dilakukan oleh Imam Nawawi dalam Kitab ( tazhib al- asma wal lughat ), Imam Nawawi memperkenalkan sedikit sebanyak tentang biodata Imam Muslim samaada dari segi latar belakang kehidupannya dan pendidikannya

2. Kitab ini seperti dengan kitab lain juga terdapat Mukaddimah yang ditulis dengan warna merah manakala intipatinya warna hitam. Dalam mukaddimah dimuatkan beberapa bab yang berkaitan dengan larangan meriwayatkan hadith dari perawi yang lemah, wajib riwayat dari perawi yang siqah dan mengemukakan hadith yang berkaitan dengan hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang melakukan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w.

3. Seterusnya masuk kepada tajuk pertama yang dikenali dengan kitab hingga kitab akhir di mana setiap kitab itu pecahkan kepada tajuk-tajuk kecil yang dipanggil bab.

4. Dimulakan dengan kitab Iman hingga kitab Tafsir, setiap kitab akan didahului dengan Basmalah 

KANDUNGAN KITAB
 

BIL KITAB BIL. BAB BIL. HADIS

1. كتاب الايمان 96 380
2. كتاب الطهاره 34 40
3. كتاب الحيض 33 126
4. كتاب الصلاة 52 285
5. كتاب المسجد ومواضع 55 316
6. كتاب الصلاة المسافرين وقصرها 57 312
7. كتاب الجمعة 18 73
8. كتاب العيدين 4 22
9. كتاب صلاة الاستسقاء 4 17
10. كتاب صلاة الكسوف 5 29
11. كتاب الجنائز 37 107
12. كتاب الزكاة 55 177
13. كتاب الصيام 40 222
14. كتاب الاعتكاف 4 10
15. كتاب الحج 97 522
16. كتاب النكاح 24 143
16. كتاب الرضاع 19 65
18. كتاب الطلاق 9 67
19. كتاب اللعان - 20
20. كتاب العتق 6 25
21. كتاب البيوع 21 123
22. كتاب المساقاة 31 143
23. كتاب الفرائض 4 17
24. كتاب الهبات 4 32
25. كتاب الوصية 5 22
26. كتاب النذر 5 13
27. كتاب الأيمان 13 59
28. كتاب القسامة والمحاربين والقصاص والديات 11 39
29. كتاب الحدود 11 46
30. كتاب الأقضيه 11 21
31. كتاب اللقطه 5 19
32. كتاب الجهاد 51 150
33. كتاب الإماره 56 185
34. كتاب الصيد والذباح وما يؤكل من الحيوان 12 60
35. كتاب الأضاحي 8 45
36. كتاب الأشربه 35 188
37. كتاب اللباس والزينة 35 127
38. كتاب الآداب 10 45
39. كتاب السلام 41 155
40. كتاب الألفاظ من الآدب وغيرها 5 21
41. كتاب الشغر 1 10
42. كتاب الرؤيا 4 23
43. كتاب الفضائل 46 174
44. كتاب فضائل الصحبه رضي الله تعالى عنهم 60 232
45. كتاب البر والصلة والأداب 51 166
46. كتاب القدر 8 34
47. كتاب العلم 6 16
48. كتاب الذكر والدعاء والتوبة والاستغفار 27 99
49. كتاب الرقاق 11 59
50. كتاب التوبة 19 83
51. كتاب صفات المنا فقين واحكامهم 19 84
52. كتاب الجنة وصفة نعيمها وأهلها 28 143
53. كتاب الزهد والرقائق 19 75
54. كتاب التفسير 7 34
JUMLAH KESELURUHAN 1327 5700


METODOLOGI PENULISAN

Berdasarkan pemerhatian saya, kitab Hadith Sahih Muslim karangan Imam Muslim yang telah ditahqiqkan oleh Imam Nawawi menggunakan pelbagai disiplin ilmu metodologi Hadith. Di sini saya ingin lampirkan dua metodologi iaitu:
 Metodologi secara umum berkaitan dengan kitab ini 
 Metodologi penulisan yang khusus yang telah digunakan oleh Imam Muslim dalam penulisan hadithnya.

1. Metodologi Umum
Tulisan :
• Menggunakan tulisan dalam bentuk Khat Nasakh
• Tajuk atau kitab dan bab ditulis dengan warna merah
• Manakala sanad, matan dan ayat al-Quran ditulis dengan warna hitam 
• Tulisan hadis ditulis dengan size yang kecil
• Meletakkan baris pada semua kalimah, hadith-hadith serta ayat-ayat al-Quran 

Penyusunan Kitab:

1. Kitab ini di mulakan dengan terjemahan Imam Muslim yang dikarang oleh Imam Nawawi, dalam terjemahan ini memuatkan serba sedikit tentang biodata Imam Muslim samaada dari segi kehidupan dan pendidikan.
2. Kemudian mengulas mengenai Kitab Sahih Muslim secara ringkas dan menguraikan sedikit metodologinya.
3. Disertai juga dengan Mukaddimah, yang didahului dengan basmalah
4. Seterusnya masuk pada kitab pertama hingga kitab terakhir iaitu dimulai dengan kitab Iman berakhir dengan kitab Tafsir
5. Tajuk utama diletakkan pada setiap helaian muka surat yang baru dan ditebalkan dengan tulisan warna merah.
6. Setiap hadith dilengkapi dengan sambungan sanad, matan yang sahih, dan pada penghujung hadis diletakkan ayat-ayat al-Quran bagi menguatkan hadith tersebut.
7. Berdasarkan pada metodologi yang digunakan dalam kitab Sahih Muslim ini, beliau menyebut kalimah Haddasani dan Haddasana sebelum dinyatakan sanad dan matan hadith tersebut. 
8. Meletakkan bilangan hadith pada setiap tajuk dan disertakan juga nombor hadith yang tidak berulang bertujuan memudahkan para pengkaji dan pembaca membuat rujukan pada kitab syarah Sahih Muslim dan dapat mengetahui bilangan hadith yang terdapat pada setiap tajuk dengan mudahnya. 
Gaya bahasa:
 Bahasa yang sederhana, boleh difahami dan diterjemahkan sesuai dengan proses pembelajaran.memuatkan hadith-hadith yang mudah diingati dan fahami .

2. Metodologi Khusus

• Sahih Muslim adalah hasil kajian dan pengumpulan hadis yang dibuat oleh Imam Muslim daripada jumlah asalnya sebanyak 30,000 buah hadith yang dikumpul selama 15 tahun 
• Imam Muslim menetapkan syarat dan menggunakan metodologi tertentu dalam mengumpul dan menulis hadis dalam Kitab Sahihnya, iaitu :

1. Tidak meriwayatkan hadis kecuali dari perawi yang adil, kuat hafalannya, jujur, amanah, tidak pelupa. la juga meriwayatkan dari perawi yang memiliki sifat-sifat lebih rendah dari sifat tersebut di atas.
2. Hadith yang diriwayatkan mesti bersambung sanad dari awal hingga akhir.
3. Hadith itu mestilah disandarkan kepada Rasulullah s.a.w

BILANGAN HADITH DALAM KITAB MUSLIM

• Bilangan hadis tidak berulang yang dimuatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim adalah 4,000 .Manakala Jumlah kesemua hadith yang disebut secara berulang adalah sebanyak 12,000 hadith.
Imam Muslim pernah berkata : saya susunkan Musnad al-Sahih ini dari 300 ribu hadith yang didengari. 
• Pendapat Ulama’ lain mengenai bilangan hadith dalam sahih Muslim antaranya :

• Hafiz al-‘Iraqi berkata ; dengan mengambil kira hadith-hadith yang berulang, jumlah hadithnya lebih banyak dari yang terdapat dalam kitab Bukhari kerana turuq yang pelbagai. Katanya bilangannya 12 ribu hadith dan 4000 hadith tanpa mengira hadith berulang.
• Winsink : pernah menyenaraikan di awal bukunya Miftah kunuz al-Sunnah hadith-hadith utama dari setiap tajuk utama yang terdapat dalam Sahih Muslim telah menyebut yang jumlah hadithnya adalah 5781 hadith. 

KEDUDUKAN DAN KEISTIMEWAAN SAHIH MUSLIM 
Kedudukan ;

1. Sahih Muslim adalah salah satu daripada kedua kitab yang masyur dikalangan umat islam selepas kitab suci Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kitab ini mengandungi hadith-hadith sahih sahaja 
2. Kitab Sahih Muslim dikumpulkan di dalam 54 tajuk yang dikenali dengan kitab yang merangkumi bidang : 
a) Muamalat
b) Jihad
c) Zikir
d) Fada’il al-Amal
e) Ibadah


Keistimewaan Sahih Muslim;

1. Tidak ada sebarang penambahan atau kritikan dan pengurangan terhadap kitab sahih itu pada zaman beliau dan juga selepas kematiannya sehingga sekarang
2. Jumhur ulama bersetuju dan bersepakat mengiktiraf kedudukan kitab Sahih Muslim
Sebagai kitab Kedua selapas Sahih Bukhari.
3. Sahih Muslim juga dianggap istimewa kerana mempunyai ciri-ciri berikut:

a) Metodologinya berbeza dengan metodologi Imam Bukhari, di mana beliau mengumpulkan matan-matan yang berbeza di dalam satu riwayat disatu tempat tanpa dipecahkan kepada beberapa bab.
b) Tidak banyak hadith-hadith yang berulang dan akan cuba mengelakkannya jika boleh.
c) Penjelasannya tidak terputus-putus , tetapi mengikut langkah-langkah teratur di dalam judul-judul yangt tertentu.


KITAB – KITAB SYARAH MUSLIM

1. SAHIH MUSLIM BI SYARH AL-NAWAWI 
- (Al-Imam Muhyiddin Abi Zakaria Ibn Syaraf al-Nawawi ) 
-Tahun cetakan : 1990 Masehi
- Bilangan Jilid : 18 jilid
• Metodologi Kitab
 Kitab ini bermula dengan basmalah kemudian hadith berserta syarahannya
 Pada setiap juzuk pengarang meletakkan isi kandungan 
 Kitab ini juga mempunyai satu buku khusus bagi indeks
 Indeks ini meliputi : tajuk, kitab dan bab, hadith-hadith qawliyyah mengikut abjad, nama-nama perawi daripada kalangan sahabat dan penerangan hadith-hadith setiap daripada mereka.
 Terdapat juga indeks-indeks khusus seperi ayat al-Quran dan sebagainya

2. FATH MUN’IN SYARAH SAHIH MUSLIM 
- Profpesor Dr. Musa Syahin Lasyin 
-Tahun Cetakan : 2002 M bersamaan 1423H 
-Juzuk : 10 juzuk

• Metodologi kitab
 Pada permulaan buku ini dimulai dengan muqaddimah 
 Berikutnya kitab ini menyenaraikan kandungan bagi kitab
 Kemudian dimulakan dengan bab hadith syarahnya yang disebut dengan makna umum, perbahasan arab dan kefahaman hadith.

3.IKMAL-IKMAL AL-MUALLIM SYARAH SAHIH MUSLIM 
- al-Imam Muhammad bin Khalifah al-Wasytani
- Tahun Cetakan : 1994 M bersamaan 1415H 
- Bil Juzuk :9 Juzuk
4. AL- SIRAJ AL-WAHHAJ FI KASYH MATALIB IBN AL-HAJJAJ
- Abi al-Tayyib Muhammad Siddiq khan bin Hasan bin Ali
- Tahun cetakan : 2004 M

5. AL-MUFHIM LIMA ASYKALA MIN TALKHIS KITAB MUSLIM
- Al-Imam al-Hafiz Abi Abbas Ahmad bin Imran bin Ibrahim al-Qurtubi
- Tahun cetak : 1996 M bersamaan 1417 H

8. PENUTUP
Secara kesimpulannya, Kitab Sahih Muslim adalah salah sebuah dari dua kitab yang sahih selepas al-Quran dan as-Sunnah yang mengandungi hadith-hadith yang sanadnya bersambung dan disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di samping itu juga, kitab ini mengandungi intipati yang berkaitan dengan kehidupan social umat Islam. Oleh itu, amatlah sesuai dijadikan panduan dan rujukan dalam kehidupan seharian untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

Jadi secara keseluruhannya, kitab Sahih Imam Muslim amatlah sesuai dijadikan rujukan bagi mereka yang ingin mengenali, mengetahui serta mempelajari hadith-hadith yang sahih. Semoga dengan terhasilnya kertas kerja ini dapat memberi manfaat kepada kita untuk mengkaji hadith dan mempelajarinya dengan lebih mendalam. 



9. RUJUKAN
Al-Imam Abi Hussain Muslim bin Hajjaj Qusyairy. 2001. Sahih Muslim. 
Beirut Lebanon: Dar al-Kotob al-Ilmiyah 
CD Hadith. Mausuah al-Hadith as-Syarif al-Kutub at-Tis’ah.
Anisah Zainal Abidin. 2006. Pemikiran Islam Semasa. Bangi: Jabatan Usuluddin dan 
Falsafah
Rusli Abdul Roni. 2003. Tesis Pemikiran Syeikh Muhammad al-Ghazali al-Saqa 
(1917-1996) dalam Beberapa Permasalahan Fiqh Islam. Bangi: Fakulti Pengajian 
Islam UKM
http://ms.wikipedia.org/wiki/Imam_Muslim 18/7/2009
http://www.scribd.com/doc/3272315/BIODATA-IMAM-MUSLIM-alahkam-net-Si- http://www.scribd.com/doc/8009413/Kenali-TokohTokoh-Hadith:19/7/2009
http://mohdfikri.com/blog/20/7/2009

0 comments:

Post a Comment