DATUK
SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 19 MAC 2014.
MUQADDIMAH
Ketika
Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul akhir zaman, kerasulannya bersifat
sejagat dan ‘alami. Baginda bukan sahaja berdepan dengan musyrikin Arab yang
buta huruf, paling keras dan bebal, bahkan menghadapi seluruh manusia di muka
bumi sepanjang zaman.
Ada pun di luar bumi Arab pula, adanya kuasa-kuasa besar
dunia yang bertembung, khususnya Rom dan Parsi, di samping China, India, Mesir,
Habsyah dan lain-lain. Dalam masa yang sama, adanya pula golongan ahli kitab
dan bukan ahli kitab berbagai-bagai agama.
Al-Quran, bukan sahaja menjadi petunjuk yang benar mengenali
Allah dan segala akidahnya, beribadat dan cara hidup diri dan bermasyarakat,
hubungan manusia dengan Allah.
Al-Quran juga memberi petunjuk menangani berbagai-bagai agama
dan kuasa pemerintahan, dengan memaparkan sejarah terdahulu dan semasa.
Pendekatan dakwah secara muwajahah silmiyyah diutamakan, perdamaian didahulukan
dalam hubungan antara bangsa, negara, kaum dan agama, berdiplomasi dalam
menangani pertembungan antara kuasa besar dan kebijaksanaan dalam pertembungan
agama, dengan syarat istiqamah dan konsep murunah tanpa hilang petunjuk yang
sebenar, serta tegas menghadapi segala tentangan sehingga tidak menyerah kalah,
sama ada menang atau mati kerana Allah.
MENGHADAPI PERGOLAKAN ANTARA BANGSA
Di
antara petunjuknya ialah firman Allah, maksudnya:
“Alif, Laam, Miim. Rom telah
dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu
akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada
pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan
sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu,
orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah.
Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah ar-Rum : ayat 1-5)
Ayat-ayat ini membetulkan sikap dalam pertembungan antara dua
kuasa besar di zaman itu, dengan sikap yang berbeza di antara ahli kitab dan
yang lain, tanpa menghadapi musuh yang ramai dalam satu masa.
MENGHADAPI PELBAGAI PIHAK
Adapun
berdakwah secara umum, manusia berbagai-bagai agama dan budaya, sehingga
kerajaan yang memerintah negara, Al Quraan memberi petunjuk. Firman Allah,
maksudnya :
“Serulah (berdakwah) ke jalan Tuhanmu
(Wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan
berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia
lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah
jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
“Dan jika kamu membalas kejahatan
(pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan yang setimpal seperti yang
telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang
demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
“Dan bersabarlah (Wahai Muhammad
terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil
kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah;
dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah
Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”
“Sesungguhnya Allah beserta
orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha amalan yang baik.”
(Surah
al- Surah An-Nahl : Ayat 125 – 128)
Khusus
bagi menghadapi ahli kitab Allah berfirman, maksudnya :
“Dan janganlah kamu berbahas dengan
ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang
berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami
beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan
Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah
satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (Islam)." (Surah
al-Ankabut : ayat 46)
CABARAN DALAMAN UMMAH
Seterusnya
umat Islam menghadapi cabaran penyelewengan dalaman, sehingga memecahkan mereka
kepada mazhab bukannya sekadar furu’ ilmu fiqh yang di izinkan, bahkan yang
menyentuh akidah yang dinamakan firqah dan tasawwuf yang dinamakan tariqat.
Walaupun mengaku berada dalam kepompong Islam, tetapi memecahkan kedudukannya
daripada kepompong Islam, secara sedar atau tidak.
Dalam hal ini kita perlu membuat pertimbangan berpandukan
firman Allah, Maksudnya:
“Kemudian Kami jadikan al-Quran itu
diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka
di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak
mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan
di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan
dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah
semata-mata).” (Surah Surah Fatir : Ayat 32)
Selepas wafatnya Rasulullah SAW berlakunya masalah dalaman
penganut Islam, peristiwa riddah, keluar daripada Islam semuanya atau menafikan
hukum zakat dalam keadaan masih bersembahyang. Kekhilafan juga berlaku dalam
kalangan para sahabat RA berhubung dengan perlantikan Khalifah. Walau pun
akhirnya bersepakat mendokong Khulafa ar-Rasydin RA. Namun kesannya berbangkit
kemudian, mencipta mazhab Syiah dan Khawarij dan menjadi melampau kerana adanya
anasir luar yang masuk ke dalam umat Islam dan kejahilan umat pada zaman
mutakhir.
Selepas penterjemahan berbagai-bagai ilmu ke dalam bahasa
Arab pada zaman Abbasiyyah, sehingga termasuk pengaruh ilmu falsafah,
menyebabkan lahirnya perbincangan ilmu akidah yang memecahkan aliran pemikiran
dalam aspek akidah dalam kalangan Ahli Sunnah sendiri, kepada aliran Salafiyyah,
Asyairah dan Maturidiyyah sehingga dinamakan Ilmu Al Kalam kerana banyak
falsafahnya apabila berdepan dengan aliran Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah
dan lain-lain. Muncul pula aliran Batiniyyah yang menafikan amalan syariat yang
diwajibkan. Semua aliran aliran tersebut juga mempengaruhi semua kalangan
mazhab yang terdahulu yang bermula dengan politik, feqah dan tasawuf.
Umat Islam pula menghadapi al Ghazwu al-Fikri daripada timur
dan barat, khususnya selepas masuknya zaman penjajahan baru dan selepas penjajah
asing, bukan sahaja terpengaruh dengan tamadun kebendaan yang melampau, tetapi
menganut aliran al-Ilmaniyyah (Sekularisma) yang mencipta semangat menentang
penjajah, pada mulanya berasaskan nasionalisma dan selepasnya menganut
berbagai-bagai ideologi dan teori politik dan ekonomi yang asing daripada
Islam. Bukan sahaja liberal kapitalisma dan sosialisma yang tidak menolak agama
bahkan melarat kepada komunisma yang menentang semua agama.
Ada juga yang menghina dan mempersendakan hukum-hukum Islam, dalam
keadaan tetap mengaku menjadi penganut Islam. Lebih merbahaya lagi adanya ulama
yang bersamanya dan melabelkan Islam kepada semua ideologi itu kerana mengampu
kepada kerajaan di negeri masing-masing atau tidak memahami perkembangan
semasa.
AKIDAH MEMPENGARUHI MAZHAB
Perpecahan
umat berdasarkan kepada politik pada awalnya, bukan sahaja mempengaruhi
madrasah fiqhiyyah, namun melibatkan juga madrasah akidah dan tasawuf sehingga
berpecah kepada mazhab yang banyak.
Abu al-Hasan al-‘Asyari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyin
dan al-Syahrastani dalam al Milal wa Nihal menghuraikan agak terperinci.
Madarasah Ahli Sunnah dalam perkara akidah berpecah kepada tiga mazhab - Salaf,
As-Syairah dan Maturidiyyah.
Mazhab Syiah berpecah kepada 52 mazhab yang besar dan kecil.
Khawarij pula berpecah kepada 16 mazhab. Mu’atazilah kepada 12 mazhab,
Jabriyyah kepada tiga mazhab.
Ada kalangan mazhab yang sama akidahnya dengan ahli sunnah
dan berkhilaf dalam hukum feqh dan ada pula beberapa hukum feqh yang sama
tetapi menganut mazhab muktazilah dan lain-lain.
MAZHAB AHLI Al SUNNAH WA JAMA’AH
Mazhab
Ahli Sunnah Wa Jama’ah wajib dipertahankan kebenarannya, walau pun Muktamar OIC
terakhir di Makkah merasmikan keputusan Majmak al-Fiqh dibawahnya yang berpusat
di Jeddah dan sebelumnya Majma’a Al Buhuth Al Islamiyyah di-Mesir
mengisytiharkan lapan mazhab yang lahir dalam kalangan umat Islam yang
diiktiraf bernama Islam.
Lima daripada Sunni: Hanafi, Maliki, Syafe’ei, Hambali dan
Zohiri, (tanpa menyebut mazhab yang terdahulu di kalangan sahabat dan
tabi’ein). Dua daripada Syi’ah: Imamiyyah (Ja’afariyyah) dan Zaidiyyah dan satu
mazhab Khawarij , iaitu Ibadiyyah.
Mazhab Ahli Sunnah mengalami proses ilmu dan perjuangan yang
lebih mendalam daripada mazhab yang lain, kerana berada di pusat ilmu, seperti
Makkah, Madinah, Yaman, Syam, Iraq dan Mesir.
Adapun Mazhab yang lain menjadi terpencil daripada pusat ilmu
dan jauh daripada para ulama muktabar yang berjuang secara berdepan menghadapi
cabaran.
Menjadikan pendapat yang kuat dari segi hujah yang sahih dan
kuat bersumberkan hukum Islam lebih banyak, dan hujah mazhab yang lain banyak
yang lemah, namun kita tidak boleh menafikan adanya banyak persamaan dalam
beberapa hukum dan adanya pertemuan ilmu berbagai mazhab, kerana berguru dan
meriwayat di antara satu sama lain. Seperti di antara Abu Hanifah dan Imam Al
Baqir dan anaknya Imam Ja’afar Al Sadeq daripada mazhab Syi’ah. Imam Al Bukhari
dan Muslim meriwayatkan daripada Soleh bin Hay yang bermazhab Syiah , dan
contoh yang lain.
Perlu diketahui juga bahawa zaman mutakhir berlakunya
kelahiran kaul daif dan ada yang menyeleweng daripada imam mazhab yang
terdahulu apabila berlalunya masa yang lama dan berlakunya pertembungan secara
jahil dan taksub. Sehingga ada yang terlalu melampau sehingga membatalkan
Islamnya.
Perlu difahami perbezaan antara meningkari Nas al-Quran,
Hadis-Hadis Soheh Mutawatir, Ijma’a dan menafikan Hadis Ahad dan adanya kaul
daif daripada mazhab sahabat dan tabi’en.
Dalam masa yang sama berlaku pula ta’asub mazhab Sunni
sendiri sehingga menolak dan menyesatkan sesama sendiri dan menafikan mazhab
para sahabat dan tabi’ein yang sepatutnya dikaji juga.
KAJIAN PARA ULAMA
Ada
kalangan ulama yang mengarang kitab berkenaan dengan sejarah dan aliran
pemikiran mazhab-mazhab firqah tersebut. Seperti Abul Hasan Al-Asyari mengarang
kitab Maqalat Al Islamiyyin. AlSyahrastani kitabnya al-Milal wa-Nihal , Ibnu
Hazmin kitabnya al-Fisal fi al-Milal wa-Nihal. Ibnu Khaldun pula menyentuhnya
dalam al-Muqaddimah. Maka kita akan dapati perbezaan pendapat dan sikap
kalangan ulama itu kerana berbeza zaman dan tempat.
Untuk mendapat kajian terperinci adalah lebih baik dirujuk
kepada penulisan perbandingan mazhab yang agak mendalam, terperinci dan tidak
terpengaruh dengan tekanan politik kerajaan masing. Di antaranya ialah karangan
Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr Abdul Karim Zaidan yang berada di
tengah-tengah masyarakat berbagai mazhab. Sebelumnya al-San’aani daripada Syiah
Zaidiyyah mengarang kitab Subul Al-Salam mensyarahkan kitab matan Hadis Bulugh
Al-Maram karangan Ibnu Hajar daripada Sunni, Al-Syaukani yang berubah daripada
keluarga Syiah kepada Sunni.
Kita juga wajib berwaspada dengan permainan politik dalaman
umat dan musuh luar, yang sengaja mencetuskan masalah dalam tanah air dan
masyarakat umat Islam .
SIKAP MUSUH TERHADAP ISLAM
Semua
penulisan dan media barat meletakkan semua yang berwajah Islam dalam senarai
paling bahaya, tanpa mengira mazhab, bangsa, dan ideologi politik yang dianut
dan diperjuangkan, walau pun yang terpelanting daripada Islam seperti Komunis
atau Islam Liberal.
Ketika memuncak perang di Semenajnung Korea tahun 50-an, dan
ancaman pakatan Warsaw terhadap Negara Eropah, seorang diplomat barat membuat
kenyataan bahawa Islam lebih bahaya daripada ancaman komunis. Di Malaysia juga
ada kalangan yang menumpang sama.
Saya juga tidak lupa kenyataan Ehud Barak, Mantan PM dan
Menteri Pertahanan Israel ketika terburainya Komunis dan pecah berkecainya
Negara Sovet pada akhir tahun 80-an:
“Supaya
berwaspasa terhadap kumpulan Islam yang muncul di negara Asia Tengah bekas
jajahan Islam”.
Kita perlu membaca sikap kuasa besar barat dan timur terhadap
Islam secara menyeluruh. Kita juga wajar memahami mengapa British berfahaman
Liberal kapitalis dan sekutunya mengizinkan kemerdekaan Yaman Selatan dahulu
kepada pembentukan kerajaan Komunis Maxis di antara tempat paling stratejik dan
Rusia dan China mengizinkan penubuhan kerajaan pro barat di kawasan umat Islam
di Asia Tengah. Dalam masa yang sama adanya pula negara Arab yang bersekongkol
dalam percaturan politik kuasa besar.
Umat Islam juga dikawal habis-habisan dalam perlumbaan
teknologi. Maka kalau yang maju sehingga sedikit kemajuan dalam teknologi
nuklear, laksana tanda kiamat yang wajib dimusnahkan, walau pun dia seorang
Islam yang zalim seperti Saddam Husain atau tolol seperti Muaamar Gaddafi.
Sekalipun bertujuan untuk tenaga letrik dan sebagainya, tetap diharamkan.
Saintis Iran, dikutip untuk dibunuh dan ada yang diculik ketika menunaikan haji
di Makkah, tiba-tiba dapat melarikan diri ke Kedutaan Pakistan di Amerika.
Ada pun negara lain boleh membina semaju-majunya, sehingga
melakukan ujian yang mengacau cuaca dunia dan keselamatan penduduk setempat,
dan mengganggu keamanan dunia dengan senjata pemusnah membunuh lebih kejam
daripada binatang buas.
Negara barat dan timur boleh menubuhkan apa sahaja pakatan
termasuk ketenteraan, saperti NATO dan Warsaw, atau pakatan ekonomi seperti EU,
AFTA, NAFTA, G7, TPPA dan sebagainya. Adapun negara umat Islam diharamkan
seperti itu.
Maka OIC hanya layak bersifat NGO yang hidup segan mati tak
mahu. Apabila Almarhum Erbakan PM Turki menubuh G8, maka dilumpuhkan, lebih
lagi apabila mencadangkan Dinar pengganti Dollar dalam urusan kewangan antarabangsa.
Tiba-tiba Erbakan (Pemimpin Parti Islam seperti PAS di Malaysia) digulingkan,
termasuk Tun Mahadir pemimpin kuat Umno yang menyokong cadangan ini.
Beginilah senario membelasah Islam tanpa mengira mazhab,
tanpa mengira namanya Sunni, Salaf atau Khalaf, Asyairah, Maturidiyyah, Wahabi
dan lain-lain. Termasuk tanpa mengira Sunni, Syiah dan Khawarij dan lain-lain,
termasuklah tanpa mengira Islam atau sekular.
Pada zaman penjajahan dahulu pihak musuh juga berjaya
mencipta mazhab yang disokong oleh mereka seperti Qadiani (Ahmadiyyah) di India
dan Bahai di Iran yang ditolak oleh umat Islam, sehingga terpaksa memindah
pengkalan di Israel dan England.
GERAKAN ISLAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN
MAZHAB
Semua
gerakan Islam Islah dan tajdid menangani berbagai mazhab dengan ilmu para
ulamanya melalui taqrib kalangan mazahib yang dikira daripada Ahli al-Islam
atau pun Ahli Al-Qiblah.
Pelopor gerakan tajdid zaman penjajahan, Jamaluddin
al-Afghani yang pernah dibuang ke Iran dan kemudiannya ke Mesir, lalu bergabung
dengan muridnya Muhammad Abduh memainkan peranan pada awal abad yang lalu
bersama dengan Ayatullah Al-Kasyani. Usaha ini disambung oleh Hasan al-Banna,
Abul ‘Aala Maududi, Nawwab Sofawai dan lain-lain. PAS juga bersama menyambung
dalam usaha ini. Namun mendapat tentangan dan gangguan dalam negara dan
antarabangsa. Hasan al-Banna ditembak mati di Mesir dan Nawwab Sofawi dihukum
bunuh di Iran. Dua tokoh al-Azhar, selepas Syaikh Muhammad Abduh iaitu Shaikh
Mustafa al-Maghari dan Mahmud Syaltut melibatkan diri dalam usaha taqrib.
Selepasnya perlantikan Shaikh Azhar dikuasai oleh kerajaan Mesir.
Almarhum Dr Said Ramadan al-Misri (S/U Ikhwan Muslimin)
menegaskan bahawa beliau tidak melupai demonstrasi ratusan ribu di kedutaan
Mesir di Tehran apabila Sayyid Qutb dan rakan-rakannya dijatuhkan hukuman mati
ditali gantung.
Gerakan Ikhwan al-Muslimin secara khusus mememainkan pengaruh
yang besar, apabila beberapa kitab dan risalahnya diterjemahkan ke bahasa
Parsi, di antara penterjemahnya ialah Ayatullah Ali Khamenei yang dilantik
menjadi Imam selepas al-Khomeini. Terakhirnya, beliau mengeluarkan fatwa
membatalkan beberapa ribu hadis dalam kitab mereka (al-Kulaini), yang didapati
mencela para sahabat dan Umahat al-Mukminin RA.
Satu pendedahan diawal revolusinya berlaku perang teluk yang
belum selesai sehingga kini. Berlaku pengeboman bangunan yang mengorbankan
lebih 80 orang pemimpin, mereka sebahagian besarnya terlibat dengan gerakan
Islam, diantaranya ialah Ayatullah Bahasyti.
Walau pun mereka boleh bertahan, namun mereka berdepan dengan
para ulama fanatik mazhab yang masih ramai dalam masyarakat yang bertindak
secara negatif menyebarkan mazhab dan pandangannya di kalangan sunni, di
samping negara Arab Sunni berjiran tidak menunjukkan semangat kejiranan dan
persaudaraan seagama, sebaliknya bersedia menjadi pengkalan tentera kuasa besar
barat yang menjadikan Iran satu ancaman besar kepada mereka. Sedangkan negara
ini sangat rapat dengan Iran pada zaman Shah yang menjadi pengkalan terkuat
kepada Barat.
Sikap kerajaan negara Arab terhadap kemenangan Islam di
Sudan, terhadap Ghazzah, terkini di Mesir, Tunisia, dan lain-lain, sangat
menunjukkan belangnya yang sebenar. Menunjukkan usaha menghalang munculnya
Negara Sunni yang mampu memimpin dunia Islam - sesuatu yang tidak boleh
dilakukan oleh Iran walaupun sudah menunjukkan arah menjadi kuasa besar dunia.
Sikapnya memutuskan hubungan dengan Israel dan membatalkan
pengiktirafan yang dilakukan oleh kerajaan Shah dahulu dan keberanian membantu
Hamas, dan Tanzim Jihad bukan sahaja Hizbullah, sepatutnya dilakukan oleh
Negara Arab Sunni sangat memalukan.
Negara-negara besar yang terlibat dalam penubuhan Israel
telah berjaya mencetuskan peperangan secara wakalah di Syria yang dianggap oleh
Lawrence sejak seratus tahun yang lalu sebagai kawasan penyelamat kepada
penaklukan tanah suci mereka di Palestin. Terkini dapat menghapuskan pengkalan
Hamas dan Tanzim Jihad (dua kumpulan Islam Sunni), pengkalan hadapan secara
lansung dengan Israel yang tidak dibenarkan di semua Negara Arab, kecuali
Yaman, Sudan, Algeria, Qatar dan Lubnan, serta menyekat saluran senjata
menentang Israel disebelah utara, yakni bukan hanya melibatkan Hizbullah
daripada Syiah.
PETA BARU DUNIA ISLAM
Pada
awal abad yang lalu, semangat kebangsaan memecahkan umat Islam berjaya
menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, iaitu peranan mazhab pada masa itu tidak
besar. Pendedahan terkini melalui media baru menunjukkan, faktor mazhab dan
kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negeri Islam dijadikan faktor
membentuk peta baru Asia Barat dan akhirnya melibatkan dunia Islam. Tujuannya
ialah menyelamatkan Israel yang menjadi pengkalan hadapan dalam pertembungan
dengan dunia Islam, juga penguasaan terhadap sumber pembekal tenaga dan
perjalanan antarabangsa.
Pemetaan dicadangkan supaya Selatan Mesir (So’eid) dipecahkan
kepada kaum yang rapat dengan Afrika yang digabungkan dengan Sudan Utara yang
dipisahkan daripada Sudan Selatan dan Darfur. Negara untuk kaum Kristian Koptik
juga dicadangkan. Utara Afrika dipecahkan di antara kaum Arab dan Barbar
(amazigh). Syria , Iraq dan Lubnan dipecahkan kepada Sunni, Syiah, Alawi,
Kurdis dan Turkuman yang memecahkan Turki pula. Begitu juga Saudi, Iran, Negara
Teluk dan Yaman.
Usaha melumpuhkan ketenteraan juga dilaksanakan, setelah berjaya
melumpuhkan Pakistan dan Afghanistan, Mesir dan Syria kerana masalah dalaman,
dilagakan pula Saudi dan Iran secara pertembungan mazhab. Peperangan boleh
dilakukan secara langsung atau wakalah (proksi) bagi kesempatan pasaran senjata
dalam kalangan kuasa besar dan meleburkan wilayah Islam dengan peperangan
sesama sendiri .
PENUTUP
Perpecahan
mazhab yang telah wujud sejak seribu tahun dahulu tidak menghalang kemaraan
dakwah dan futuhat Islam ke seluruh pelusuk dunia, kerana umat yang tulin dapat
membezakan antara yang sesat dan tidak. Masa dan tenaga tidak dihabiskan oleh
pertelingkahan mazhab dan firqah yang wujud, tetapi kebangkitan Islam yang
sedang berlaku kini digugat dengan perkara mazhab sekiranya tidak ditangani
dengan bijak oleh para ulama dan pemimpin yang insaf.
Sumber ilmu Islam secara riwayat dan dirayat sepatutnya dapat
diperkasakan dengan mudah sekiranya dimanfaatkan teknologi maklumat terkini.
PAS sendiri sehingga kini berjaya menapis segala anasir
fahaman dan mazhab yang cuba dimasukkan kedalam PAS atau menggangu
perjalanannya, sama ada kumpulan ini keluar dengan sendiri atau dipecat.
Akhirnya
bacalah firman Allah, maksudnya:
103. Katakanlah (Wahai Muhammad):
Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal
perbuatannya?104. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam
kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan
baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.105. merekalah orang-orang yang kufur
ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu
gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang
pertimbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.106. (Mereka
yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur
ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai
ejek-ejekan.
(Surah
Surah al-Kahf : ayat 103-106)
*Teks
ini dibentangkan semasa Wacana Pengukuhan Akidah di Unisel Shah Alam.
0 comments:
Post a Comment