Wednesday, 21 May 2014

Orientalis dan Pengajian al-Hadith


Sesungguhnya sedar tidak sedar, sebenarnya umat Islam kini berdepan dengan serangan secara terancang, samada secara fizikal dan minda. Usaha musuh untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya ini tidak pernah luntur sejak sekian lama. Mereka akan melakukan apa saja bagi memastikan Islam dan umatnya terus berada di landasan yang salah dalam melaksanakan propaganda supaya arahan, kewajipan dan amalan agama diragui dan ditinggalkan penganutnya sendiri.Perkara inilah yang sedang dan sudah dilakukan golongan bijak pandai bukan Islam. Golongan orientalis yang secara ilmiah dan melalui hujah akademik menyerang pemikiran masyarakat Islam supaya mereka berasa sangsi dan tidak yakin dengan segala ajaran serta tuntutan agama yang disyariatkan. 

Orientalis-orientalis barat berminat di dalam pengajian al-Hadith dan kesusateraan-kesusasteraan cabangnya sejak lebih kurang dua ratus tahun silam. Mereka membuat pengkajian kritis, menyediakan suntingan dan menerbitkan banyak karya berbahasa Arab di dalam lapangan pengajian ini. Mereka juga telah menterjemahkan beberapa buku Hadith dan ilmu berhubungkait dengannya ke dalam bahasa mereka, dan mereka menulis buku-buku ilmiah dan makalah kritis tentang masalah asas yang rumit berhubungan dengan kesusateraan al-Hadith. (el-Muhammady, 1991 : 48)

Golongan orientalis juga bukan sahaja mengkaji al-Qur’an untuk menggugat kebenarannya sebagai wahyu dan sumber perundangan Islam, malah mereka juga mengkaji Sunnah untuk menimbulkan keraguan yang sama, kerana Sunnah dianggap oleh Muslim sebagai wahyu dan sumber kedua perundangan Islam. (el-Muhammady, 1994 : 78)

Orientalis ketika membincangkan al-Hadith, memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu pengertian Sunnah, masalah Isnad sebagai saluran bagi menetukan kesahihan Sunnah dan akhirnya pengumpulan Sunnah. (el-Muhammady, 1994 : 78)

Sementara itu, berhubung dengan definisi Sunnah, J. Schacht berpendapat bahawa Sunnah yang bererti pembawaan Rasulullah s.a.w merupakan pengertian yang diberikan oleh Syafi‘ie. Pengertian ini adalah bertentangan dengan kefahaman ulama’ sebelumnya, yang menganggap Sunnah tidak semestinya dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w malah ia dimaksudkan juga tradisi dan pembawaan hidup masyarakat. (el-Muhammady, 1994 : 78)

Ada juga pendapat J. Schacht tentang Isnad. Beliau berpendapat bahawa kaedah dan kriteria yang digunakan oleh ulama’ untuk menilai periwayat Hadith, untuk menentukan kesahihan Hadith adalah tidak cukup, dan natijah daripada itu ialah timbulnya banyak pemalsuan dalam pengumpulan dan penilaian Hadith. Berhubung dengan pengumpulan Hadith pula, beliau berpendapat bahawa ia berlaku dua ratus tahun selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Justeru itu banyak berlaku pemalsuan terhadapnya (el-Muhammady, 1994: 78).
Kesudahannya, berdasarkan alasan yang dikemukakan itu maka jelaslah bahawa Hadith adalah maklumat palsu dan dengan sendirinya segala hukum yang terkandung di dalamnya adalah palsu belaka dan merupakan rekaan ahli-ahli Hadith. Bagi Muslim, beliau tidak mudah menerima dakwaan ini, kerana terdapat data-data yang kukuh dan benar untuk menunjukkan kebenaran pembawaan Rasulullah s.a.w berhubung dengan pengertian Sunnah di kalangan ulama’ Hadith. (el-Muhammady, 1994 : 79)

Penggunaannya ada dua, iaitu Sunnah dalam penggunaan biasa dalam bahasa Arab sebagaimana yang dinyatakan di atas dan kedua pengertian istilah setelah Sunnah ini dipengaruhi oleh ajaran Rasulullah s.a.w yang kemudiannya menjadi satu bidang ilmu yang tersendiri. Pengertian Sunnah mengikut istilah, yang merujuk kepada pembawaan Rasulullah s.a.w adalah ditentukan selepas kedatangan Baginda dan setelah Baginda dapat menunjukkan secara jelas pembawaan itu untuk diikuti oleh kaum Muslimin dalam semua perkara. Pembawaan Rasulullah s.a.w bukan sahaja terselah dalam kehidupan peribadinya, malah mempengaruhi kehidupan individu yang lain dan mempengaruhi corak hidup masyarakat. Melalui Sunnah ini, Baginda cuba menyeragamkan pembawa hidup manusia dan mengurangkan perbezaan di antara mereka seberapa banyak yang boleh. (el-Muhammady, 1994 : 79)

Oleh itu, berdasarkan penjelasan dan alasan yang diberikan dapatlah diyakini bahawa Hadith adalah maklumat yang sebahagian besarnya adalah benar daripada Rasulullah s.a.w yang menjadi penjelas kepada maksud al-Qur’an dan pentafsir kepada pengertiannya, terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan peribadatan dan kerohanian. Maksud al-Qur’an tidak dapat difahami sepenuhnya tanpa bantuan Hadith, justeru itulah ulama’ meletakkan Hadith sebagai sumber kedua perundangan Islam.

Pengkajian tentang asal usul dan perkembangan al-Hadith secara komprehensif dan kritis juga diterbitkan oleh sarjana-sarjana barat. Antara kajian yang pernah dibuat ialah Handbuch der Islam Literature (Berling/Leipzig, 1923) oleh D. Gustav Pfann-Muller. Dalam karya utama I. Goldziher dalam bidang al-Hadith ini iaitu Muhammedanische Studien ada membincangkan perkara-perkara yang berhubung dengan permulaan dan perkembangan al-Hadith, politik, gerakan-gerakan mazhab dan kebudayaan dalam sejarah Islam yang telah mempengaruhi perkembangan bahasa dan pengajian al-Hadith. Beliau telah membincangkan tentang kebaikan dan kecacatan di dalam kesusasteraan al-Hadith mengikut pendapat beliau sendiri. Di dalam buku ini ternyata pengaruh idea-idea New Testament, Neo Platonic dan Gnostic telah menguasai dan mempengaruhi pengajiannya di dalam bidang tersebut. (el-Muhammady, 1991 : 49) 

Sebagai kesimpulannya, beliau menggangap kesusasteraan al-Hadith bukanlah mewakili idea-idea original dan idea-idea Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, ia telah menggambarkan pemikiran mereka yang terkemudian ataupun pengikut-pengikutnya yang datang kemudian. Sehubungan dengan itu, al-Hadith tidak boleh ditempatkan sebagai satu sumber asas agama Islam yang datang daripada Rasulullah s.a.w, tetapi hanya sebagai bahan penting kepada keterangan-keterangan sejarah perkembangan berbagai aspek kebudayaan Islam zaman kemudian di bawah pengaruh-pengaruh bukan Islam. (el-Muhammady, 1991 : 49)

Para sarjana orientalis ini, di samping menghasilkan kajian kritis dan kritikan yang menyelewengkan, juga telah membuat pengkajian di dalam ilmu al-Hadith. Salah satu sumbangan pengkajian atau penerokaan mereka di dalam bidang ini ialah The Concordance and Indices of Muslim Tradition yang diasaskan pada enam himpunan Kanonik al-Hadith bersama dengan Sunan al-Darimi, Muwatta‘ al-Imam Malik dan Musnad Ahmad b. Hanbal. Penulis-penulis yang menyumbang kepada karya pengajian al-Hadith terbesar ialah A. Sprenger, I. Goldziher, T. W. Juynboll, A. J.Wensinck, J. Horovitz dan lain-lain lagi. The Royal Academy of Amsterdam adalah penaung kepada usaha-usaha para orientalis ini. (el-Muhammady, 1991 : 49 & 50)

Usaha ini telah dibantu oleh beberapa akademi dan institusi pendidikan di beberapa buah Negara. Kerja ini disambung oleh De Haas, yang dibantu oleh M. Fu‘ad ‘Abd al-Baqi dan lain-lain lagi. Penulisan Concordance ini dimulai pada tahun 1916 dan disambung oleh empat puluh orang sarjana dari berbagai negara. Bahagian pertama telah diterbitkan pada tahun 1936 dan dua puluh enam bahagian lagi dalam tahun 1961. Ia mengandungi ekspresi-ekspresi atau ungkapan-ungkapan di dalam buku-buku Hadith di atas mengikut susunan abjad, nama-nama perseorangan dan lainnya disimpan untuk dimuatkan di bahagian-bahagian terakhir. Karya terbesar ini tetap berguna dan sudah tentu akan menjadi asas kukuh dan berterusan untuk karya-karya terpenting pada masa akan datang di dalam berbagai bidang kesusasteraan dan kebudayaan Islam, khasnya di dalam kesusasteraan al-Hadith walaupun ia mempunyai beberapa kelemahan. (el-Muhammady, 1991 : 50)

0 comments:

Post a Comment